Wednesday, November 26, 2008

Nostalgia Kem Nadi 3 (19-22 Nov 08)

Lama saya tidak berkesempatan menulis di blog ini. 4 hari 3 malam berkursus dan sepeninggalan saya, banyak juga kerja yang perlu dilangsaikan. Dengan kekuatan seramai 2 orang di bawah unit saya, kadangkala terlepas pandang juga beberapa masalah yang melingkari surau-surau sekitar Putrajaya. Namun, saya optimis lantas teringat dengan sebuah ayat al-Quran yang mengatakan berapa ramai umat terdahulu membuktikan bahawa kaum yang bilangan kecil/sedikit mampu untuk menumpaskan bilangan yang ramai dengan izin Allah. Insyallah, saya dan sahabat lain akan berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

KEM NADI 3
Sewaktu menerima memo berkenaan Kursus Team Building anjuran jabatan, rasa berat hati untuk pergi. Berat hati bukan kerana malas, tetapi disebabkan lambakan tugas yang menanti. Dan satu lagi, program yang merisaukan saya ialah Larian Remaja yang akan diadakan pada 20 Dis 2008. Tugas untuk mencari 1000 peserta remaja lingkungan umur 13-17 tahun terletak di pundak saya. Sesekali terfikir juga, dimanalah saya nak cari peserta seramai itu.. Namun, atas dasar amanah dan tanggungjawab saya perlu hadir ke kursus dan saya yakin Allah memilih saya pasti ada sesuatu yang ingin diberikan.

KEM NADI Sungkai
Sebenarnya, Sungkai bukanlah pekan asing bagi saya kerana bonda dan ayahanda saya tinggal di pekan berhampiran iaitu Bidor. Namun, rupa-rupanya saya tidak cukup untuk menjelajah. Terdapat sebuah kampung iaitu Kg Perlok yang menempatkan KEM NADI; tempat kursus saya. Setibanya di sana, saya cuba menpositifkan keadaan dengan menerima modul dan ilmu yang diberikan dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Kejujuran dan keikhlasan peserta diuji, apabila diminta untuk menyerahkan telefon bimbit kepada urusetia. Saya mula confius.. Pelbagai perkara yang bermain difikiran. Suami akan berlepas ke Medan, Indonesia atas urusan lawatan kerja, tugasan di pejabat yang perlu saya tahu perkembangannya dan sahabat baik (Idayu dan Asyraf) yang akan walimah pada hari Sabtu(confirm tidak dapat hadir). Akhirnya, saya nekad untuk serahkan dan yakin semua keadaan selamat. Nombor kecemasan diserahkan kepada suami dan kakak-kakak saya takut-takut ada perkara yang tidak dingini berlaku.

Hari pertama sehinggalah akhirnya, alhamdulillah saya lalui dengan baik dan hebat. Setiap mutiara kata yang keluar dari sahabat-sahabat fasi saya abadikan dan cuba untuk lakukan. Kami diajar untuk memanggil rakan sekerja dengan panggilan sahabat. Perkataan sahabat bukan yang asing bagi saya. Bermula di SERATA diikuti KISAS hinggalah UKM, perkataan sahabat yang sering bermain dibibir. Begitu juga budaya terima kasih yang selalu dilupakan. Kami ditekankan untuk bekerja dalam satu kumpulan. Satu untuk Semua, Semua Untuk Satu Kalau seorang yang silap, semua kena denda.

Sahabat-sahabat fasi terdiri dari Sahabat Pak Ya, Sahabat JJ, Sahabat Pak Din dan beberapa sahabat-sahabat lain yang banyak membantu. Sahabat Pak Ya sebagai Pengarah di Nadi Lestari. Seorang yang sangat lemah lembut. kata-katanya ibarat air yang membasahi pokok-pokok. Setiap tutur katanya bisa mengetuk hati-hati yang mahu berfikir. Lawak jenakanya bersahaja. Saya sangat tertarik dengan ilmu psikologinya. Beliau menerangkan beberapa karektor binatang yang disinonimkan dengan watak manusia dalam sesebuah organisasi. Raja Zirafah dengan kesombongannya, Raja Badak yang malas dan tahu mengerah orang sahaja, Raja Merak yang tahu bergaya tetapi boleh digunakan di bahagian kaunter. Kupasannya sangat mendalam dan mengajar peserta agar meletakkan seseorang di tempat yang betul agar manfaatnya diperolehi bersama.

Sahabat JJ, seorang yang sangat straight. kata-katanya tidak beralas, ibarat peluru. Sape makan cili memang terasa pedas.Pengalaman bekerja di syarikat swasta dan antarabangsa dicurahkan kepada kami. Apa yang ingin dilihatnya adalah hasil. Bercakap atas dasar fakta bukan auta.Ucapannya " hari semalam yang berlalu, esok yang tidak pasti. Perubahan adalah SEKARANG" Perubahan hanya dilakukan oleh AKU.

Seterusnya, Sahabat Pak Din. Orangnya kecil molek tetapi tegas. Susah untuk mengukir senyuman, sekali senyum pasti tertawan. Kata-katanya ringkas, " Cakap , Buat! Kalau tidak menyenangkan orang, jangan menyusahkan orang". Kami dilatih persis seorang tentera. Alhamdulillah, ilmu kawad ketika di'penjara'kan banyak membantu. Namun, ada juga peserta yang tak makan saman. Sepanjang pengalaman berkursus, inilah kumpulan yang sangat unik. Moga-moga keunikannya memberi impak besar pada jabatan.

Sepanjang kursus, kami diminta menyanyikan lagu 'Bila Diri Disayangi' yang pernah dipopularkan oleh kumpulan UKAYS. Lagu ini sangat terkesan di hati. Bagi saya, sepanjang kursus, banyak mutiara yang dapat dikutip. Amatlah malang bagi mereka yang tidak tahu menilainya.

Dikesempatan ini, saya mohon kemaafan daripada sahabat fasi. Ucapan terima kasih juga kerana sahabat-sahabat tidak penat melatih kami. Malam Muhasabah dan Kembara Meniti Cahaya di Rimba sangat hebat. moga Allah merahmati dan memberkati usaha kalian dan kami sebagai peserta istiqamah mengamalkannya. Setiap kursus itu ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Kepada Kumpulan NADI 3, Sirru Ala Barakatillah. Semoga ukhuwah yang terbina atas roh Islam mampu memartabatkan agensi agama di mata dunia.

Monday, November 17, 2008

"Tenang...tenang"

"Tenang.. tenang" antara peringatan yang biasa diungkapkan oleh suami kepada saya.
"Bila abang cakap tenang-tenang, abang tidak mahu isteri abang jadi kelam kabut. Bila kita tenang, kita mudah buat keputusan dan berfikir dengan cara yang rasional dan tindakan yang diambil pun sesuai dengan situasai"

Petang itu, hujan turun mencurah-curah membasahi bumi. Laluan dari Putrajaya menuju ke Kajang menjadi semakin sesak dengan pergerakan kereta yang perlahan. Biasanya keadaan jalan makin lancar jika jam menunjukkan jam 6 petang. Namun, masing-masing mengambil sikap lebih berhati-hati. Tambahan pula laluan di hadapan hospital Serdang. Teringat saya kepada kata-kata seorang sahabat.
"Laluan di Putrajaya ini, kena hati-hati. Kadang-kadang macam dah peluk steering kereta ni, tapi boleh tergelincir juga. Sebabnya ada 'jin' tabur paku dan minyak pada jalan." katanya tersenyum sinis.
Pada mulanya saya kurang faham. Setelah diterangkan, saya setuju. Ada juga makhluk yang mengambil kesempatan di atas kesusuahan dan kemudharatan orang lain.
"Abang sudah samapai di stesyen komuter Serdang" SMS yang saya terima dari suami. Minggu ini disebabkan saya ada menguruskan Kelas Tahsin al-Quran untuk Imam-imam di Putrajaya, saya perlu korbankan masa. Suami pun bersetuju untuk datang ke Kuala Lumpur, jadi saya tak pwerlu pulang ke Perak. Dari Ipoh, suami menaiki bas jam 2.30 petang dan saya yakin, mungkin jam 6.30 petang dia akan sampai di komuter Kajang.
Alhamdulillah, semuanya selesai.

Gambar ketika sambutan Aidilfitri yang lalu.

Sewaktu menatap wajah suami tersayang, saya merasakan ada sedikit kelainan pada wajahnya. Ya... matanya lebab dan dikeningnya ada satu garisan. Saya maklum, semalam melalui telefon suami mengatakan dia terlibat dengan kemalangan kecil selepas terowong di lebuhraya Ipoh - Kuala Kangsar. Saya tidak menyangka kemalangan tersebut boleh meninggalkan beberapa kesan pada wajah dan anggotanya.
"Tenang-tenang. Alhamdulillah, Abang dah sampai. Luka pun sikit je. Abang tak nak isteri abang susah hati." Suami saya menjawab sambil tersenyum.
Mengalir air mata mendengar cerita suami tentang peristiwa tersebut. Alhamdulillah setinggi kesyukuran ke hadrat ilahi, lukanya sedikit walaupun sewaktu melihat keadaan kereta suami melalui telefon bimbitnya agak teruk.
Jauh disudut hati saya, timbul rasa terkilan. Terkilan kerana gagal menjalankan tugas sebagai seorang isteri di waktu kecemasan sebegini rupa. kadang-kadang berkata-kata juga dalam hati...layakkah saya mendapat pahala seorang isteri jika tanggungjawab terhadap suami hanya dapat saya laksanakan pada hujung minggu sahaja. Makanan dan pakaian suami sewaktu bekerja, diuruskan oleh suami sendiri..
"Ya Allah, permudahkan urusan kami. Campakkan rasa kasih sayang antara kami agar kekal dunia sehingga ke akhirat. Moga-moga kerja dakwah yang dijalankan sedikit ini mampu mendapat ganjaran yang setimpal."
Bukannya kami tidak berusaha untuk tinggal sekali. Mungkin masa dan ketikanya belum tiba.
" Isteri abang kena tenang-tenang. Ini ujian untuk kita. Kita hanya berpisah di antara 2 negeri dan alhamdulillah setakat ini kita masing-masing berusaha untuk berjumpa pada hujung minggu. Ada orang, isteri di Semenanjung suami di Sarawak. Ada yang lebih istimewa lagi, suami di Malaysia isteri di Mesir."
"Doa sama-sama. Ada apa-apa SMS abang", perbualan akhir kami ketika menghantar suami di Puduraya petang semalam.

Wednesday, November 12, 2008

Jika Itu Takdirnya, Redhakanlah...

Semalam , hari kesedihan untuk suami saya. Walaupun kami masih lagi terpaksa tinggal berjauhan, namun nada suaranya melalui corong telefon benar-benar merisaukan saya.
" abang ok ke hari ini?"
" Abang tak ok" jawapan yang mengejutkan. Saya terdiam
" Ustaz abang meninggal dengan cara yang sangat mengejutkan dan menyedihkan. Dah lama dia berpesan supaya abang bawa 'sayang' jumpa dia. Tapi, sejak kita kahwin, abang tak sempat tunaikan hajat dia." Saya hanya mendengar kata-kata suami tersayang.
"Abang, jika itu tanda untuk nya, redhakanlah..." saya menjawab ringkas.

Menurut kata suami, Ustaz khairudin bekerja sebagai pembantu di Pejabat Mufti, Negeri Perak. Kematiannya mengejutkan akibat ditetak oleh penyamun ketika allahyarham bekerja sambilan sebagai juruwang di Petronas. Orangnya sangat hebat. Peramah, mudah mesra dengan orang lain dan sangat disenangi ramai. Seorang yang sangat cintakan perjuangan. Suami mengenalinya sejak kecil lagi dan sering menziarahinya.Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 6 cahaya mata. Anak bongsunya baru berumur 4 bulan.

"Allah... beratnya dugaan buat si isteri..."
Moga isteri Allahyarham tabah dalam ujian yang mendatang.

Pulang dari menziarahi Allahyarham petang semalam, suami saya masih lagi menyatakan sedih dengan peristiwa yang menimpa melalui perbualan telefon..

Beginilah rezeki kami. Berjumpa hanya di hujung minggu, yang menghubungkan hanya melalui talian telefon. Semoga Allah permudahkan jalan kami untuk tinggal dan hidup bersama.

Saya sertakan sekali petikan akhbar metro tentang pemergian Ustaz Khairudin untuk tatapan semua. Semoga Allah memberkati roh Allahyarham dan menempatkan di tempat orang-orang beriman , Insya Allah.

Dua perompak tetak ustaz
Oleh Rosdalilah Zahari dan Yusliza Yakimir Abd Talib
am@hmetro.com.my

IPOH: “Saya terus melarikan diri untuk menyelamatkan diri apabila seorang daripada perompak mahu menetak saya dengan parang,” kata Norazila Mohd Sufian, 30, juruwang stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini, yang disamun empat perompak, semalam.

Katanya, dia tiba jam 6.45 pagi di tempat kerja kerana mahu mengeluarkan wang dipesan ibu di mesin juruwang automatik (ATM) selain menggantikan Mohd Khairuddin Mohamed Isa, 42, yang bekerja syif malam.

Ketika sampai di situ, dia ternampak sebuah Proton Iswara dinaiki empat lelaki berhenti di sebuah pam minyak.

Namun, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka mereka pelanggan biasa yang mengisi minyak.

“Bagaimanapun, tiba-tiba dua daripada lelaki terbabit yang memakai topi keledar keluar dari kereta dan bersenjatakan parang masuk ke dalam kedai lalu menuju ke kaunter pembayaran.

“Saya dengar Mohd Khairuddin yang mesra dengan panggilan ustaz menjerit kesakitan di belakang kaunter pembayaran akibat ditetak di kepala oleh dua lelaki terbabit sehingga berlumuran darah.

“Saya yang terkejut dengan insiden itu tergamam seketika berdekatan mesin ATM dan tanpa diduga seorang daripada perompak terbabit datang ke arah saya,” katanya.

Akibat terlalu takut, Norazila berkata, dia segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri sehingga kad ATM-nya ditelan mesin.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi semalam, Mohd Khairuddin yang juga seorang pembantu tadbir di Jabatan Agama Islam Perak, ditetak sehingga mati oleh perompak terbabit.

Norazlina menyifatkan Mohd Khairuddin yang bekerja sambilan sebagai juruwang di stesen minyak itu seorang yang disenangi semua rakan kerana peramah dan berpekerti mulia.

“Pemergian arwah meninggalkan kesan kepada semua pekerja kerana dia banyak membantu meringankan tugas kami selain tidak pernah merungut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, ketika dihubungi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Dalam kejadian itu, dua daripada empat perompak yang bersenjatakan parang menuju ke kaunter pembayaran lalu terus mengugut mangsa sebelum menetak kepalanya.

“Mereka merampas wang tunai dianggarkan RM1,000 dan melarikan diri dengan sebuah Proton Iswara dipercayai menggunakan nombor plat palsu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Polis sedang mengenal pasti identiti keempat-empat suspek terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wednesday, November 5, 2008

Kepelbagaian Dakwah

Rasulullah pesan pada kita , " Sampaikanlah walaupun satu ayat"
Ini jelas menunjukkan peripentingnya tuntutan dakwah dalm hidup kita.. Realiti hari ini menuntut para pendakwah untuk maju ke hadapan bagi mendepani arus semasa hari ini. Kalau satu ketika dahulu, mungkin surat khabar, majalah atau televisyen menjadi penyampai maklumat. namun, hari ini maklumat seolah-olah di hujung jari anda.. Cuma , bagaimana saringan dan kawalan yang perlu dibuat bagi memastikan maklumat yang diterima adalah terbaik dan bersih daripada perkara-perkara yang kurang enak.

Pada kali ini, saya sertakan bersama artikel yang pernah saya tulis berkaitan kepentingan dakwah melalui multimedia dalam kehidupan hari ini. Semoga mendapat manfaat bersama...



Realitinya hari ini, multimedia merupakan salah satu uslub dakwah yang diterima oleh masyarakat. Sebelum wujudnya multimedia sebagai salah satu aplikasi teknologi di negara kita, media masa merupakan tumpuan masyarakat untuk mendapatkan maklumat. Merujuk kepada The Star, 8 Mei 1997 , satu kajian yang dijalankan di Lembah Klang menunjukkan bahawa pendedahan kepada media di kalangan remaja adalah seperti berikut :
Televisyen : 14.6 jam seminggu
Video : 3.4 jam seminggu
Komputer : 4.1 jam seminggu
Radio : 16.3 jam seminggu
Akhbar : 7.1 jam seminggu
Buku dan komik : 4.7 jam seminggu (The Star, 8 Mei 1997)

Walaupun kajian ini telah dijalankan agak lama tempohnya, namun diyakini bahawa berlakunya pertambahan yang tinggi terutama bagi komputer, video dan televisyen.


Realitinya hari ini, hampir setiap rumah memiliki paling kurang sebuah komputer dan adalah tidak mustahil bagi remaja menghabiskan masa di hadapan komputer untuk melayari internet. Begitu juga halnya berlaku kepada televisyen dan sumber media yang menjadi tumpuan dan pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Sebuah artikel di dalam Jurnal Pemikir yang bertajuk “Imej Islam dalam media cetak”, Bakhtiar Mohamad & Mohamad Khadafi, (2004) menyatakan bahawa , televisyen dan sumber media massa lain secara kolektif mempengaruhi perlakuan dan tindakan seseorang. Menurut Bank dan Reed, remaja hari ini banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen, filem dan melayari internet. Impaknya, media mempengaruhi anak muda dalam membangunkan dan mengenal pasti identiti melalui budaya berbanding institusi sosial.

Hakikatnya, media seperti akhbar dan televisyen mempunyai cara pendekatan dan kemahiran yang cukup berbeza dengan penggunaan multimedia. Ini kerana internet dan multimedia merupakan wadah yang interaktif dan gaya serta aplikasi yang berbeza berbanding komunikasi biasa. Apabila situasi ini berlaku, jelas menunjukkan peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh para pendakwah untuk menguasai teknologi sekaligus menjadikannya sebagai method untuk menyebarkan Islam. Sirah perkembangan Islam menunjukkan teknologi bukanlah suatu yang asing, tetapi sentiasa berkembang mengikut potensi, kemahiran dan perkembangan manusia. Sebagai bukti, teknologi yang berkaitan dengan mesin seni bina, ketenteraan, perkapalan, kimia , tekstil dan komunikasi berkembang maju membantu membangunkan Islam sebelum abad ke 16. Isi kandungan di dalam al-Quran merupakan pencetus kepada pengkajian sains dan teknologi. Firman Allah,

“ Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan kamu tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur.”
(Surah Al-Nahl :78)

Konsep mendengar, melihat dan mengingat merupakan konsep yang penting dalam pemprosesan maklumat yang dilakukan oleh multimedia. Ini menunjukkan, seorang pendakwah perlu bijak dan kreatif dalam menggunakan peluang yang ada. Umat Islam juga perlu menggunakan akal yang waras dan berfikir dengan lebih jauh agar tidak ketinggalan zaman. Kini, era globalisasi semakin mencabar dengan pelbagai lambakan maklumat yang boleh diterima dan diekses oleh sesiapa dengan cara yang mudah. Justeru, para pendakwah juga tidak ketinggalan untuk berubah mengikut perkembangan semasa. Kita tidak menidakkan fungsi atau kebaikan dakwah secara tradisional, tetapi sebaliknya melangkah satu tapak ke hadapan supaya lebih profesional dan efektif dalam menyebarkan ilmu pengetahuan.

“Yang demikian itu, adalah Allah sesungguhnya tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkannya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu
merubah apa yang ada pada mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahu” (Surah al-Anfal : 53)

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, wajib kepada setiap individu dalam masyarakat untuk tampil kehadapan dan berani untuk membuat sebarang perubahan, samada dari segi sikap dan pemikiran untuk mencapai taraf hidup yang lebih cemerlang dan baik tanpa melanggar batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Allah juga turut mengecam sikap degil orang-orang musyrikin Mekah yang terlalu taasub dan fanatik terhadap ajaran nenek moyang dan upacara tradisional mereka sejak zaman berzaman. Allah merakamkan dialog tersebut melalui firmanNya :

“Dan apabila dikatakan kepada mereka : “Ikutilah apa yang diturunkan Allah,” mereka menjawab : “Tidak, tetapi kami hanya mengikut apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami.” “(Apakah mereka akan mengikuti juga ), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?.”
(Surah al-Baqarah : 170)

Sejarah membuktikan bagaimana kaum terdahulu tidak mahu membuat perubahan lantaran berpegang teguh dengan ajaran nenek moyang. Realitinya, multimedia mampu menjadi pemangkin ummah melalui sebaran maklumat yang diperkayakan diperolehi dengan pantas dan peluang berinteraksi atau berhubung merentasi batasan penghalang samada geografi mahupun masa. Sebagai contoh, maklumat yang diperolehi boleh diolah dengan menggabungkan semua aplikasi seperti teks, bunyi, grafik dan animasi supaya mudah difahami oleh penerima secara lebih efektif. Seterusnya, maklumat multimedia tersebut boleh dihantar atau diekses oleh oleh sesiapa tanpa mengira jarak, tempat dan masa. Dengan cara ini, multimedia bukan sahaja dijadikan wasilah untuk berdakwah, malah ia boleh dijadikan wasilah untuk berukhuwah dan mengeratkan tali persaudaraan khususnya melalui web interaktif dan sidang video.
Namun, beberapa persediaan dalam memahami teknologi perlu diterapkan di kalangan para pendakwah terlebih dahulu. Antaranya, persoalan-persoalan berkenaan keperluan mengetahui sejauhmana ICT boleh menular masuk sekaligus mempengaruhi masyarakat Islam, mendasari kemahiran untuk menguasai peluang ICT dalam meneguhkan umat Islam, mengetahui cara dalam menguasai persekitaran digital dan persoalan terakhir adalah sejauh mana para pendakwah menyedari tentang kelemahan teknologi ini untuk dijadikan sebagai wasilah penyebar dakwah. Semua persoalan ini perlu diteliti oleh pendakwah agar lebih memahami keperluan menggunakannya dan untuk menjadikan medan dakwah lebih dinamik dan menarik. Bukan sekadar hanya terikut-ikut dengan keperluan semasa dan akhirnya memakan diri sendiri.

Setelah melihat kepentingan dan persediaan menghadapi multimedia di dalam masyarakat hari ini, seterusnya keberkesanan multimedia di dalam masyarakat akan dilihat terutama dari segi aplikasinya khusus dalam beberapa bidang seperti di dalam pendidikan, perubatan dan perdagangan. Melalui bidang pendidikan, beberapa kaedah boleh digunakan. Antaranya, teknologi talian terus melalui IRC ( Internet Relay Chat), newsgroup dan e-mail. Selain itu penggunaan CD-ROM yang mampu menyimpan kesemua jilid ensiklopedia dengan terang, ilustrasi, animasi dan petikan video. Bukan itu sahaja, pembelajaran Al-Quran juga boleh diperolehi melalui cakera padat yang menawarkan pendidikan yang lebih komprehensif seperti pencarian tajuk, pembentangan makhraj(sebutan huruf) dan tajweed serta indeks dan tafsir yang lengkap mengikut susunan juzuk.

Secara kesimpulannya, berdasarkan penerangan-penerangan di atas dapat dilihat perkaitan antara dakwah dan multimedia serta keberkesanannya dalam masyarakat. Tanggungjawab menyampaikan dakwah merupakan tanggungjawab setiap individu muslim. Bagi merealisasikan dan melicinkan hasrat ini, semua pihak perlu memainkan peranan. Peluang ini bukan hanya untuk dikuasai oleh para akedemik dan ahli korporat, bahkan perlu dikuasai oleh barisan para ulama’. Bagi golongan para pendakwah dan ulama’, peranan mereka dalam memastikan syariat Islam tersebar luas, dan peluang-peluang yang ada perlu diisi dan dimanfaatkan khususnya dalam bidang multimedia supaya tidak disalahgunakan oleh musuh-musuh Islam. Semoga setiap peringkat mampu khususnya golongan cendiakawan muslim mampu memainkan peranan dalam memastikan penyebaran dakwah dapat dijalankan dengan baik.

Tuesday, November 4, 2008

Cahaya Mata Anugerah Allah

Apabila matinya anak Adam, akan terputuslah segalnya dengan dunia kecuali 3 perkara iaitu :-
ilmu yang bermanfaat, sedekah jadiah dan anak yang soleh
semoga kita mampu mendidik anak-anak kita supaya menjadi generasi yang bertaqwa dan sentiasa patuh dengan arahan Allah..
ini gambar anak-anak saudara yang disayangi....