Friday, October 31, 2008

Ke Mana Budi Bahasa Kita ??

Artikel ini ditulis oleh saya sendiri pada akhir tahun 2006. Hajatnya menulis untuk menyertai satu pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Tapi, dah terlepas tarikh akhirnya. Maka, jadilah ia sebagai koleksi peribadi artikel saya sendiri..
Mungkin boleh dijadikan tatapan dan bacaan untuk semua.

Kejayaan Budi Bahasa Tanggungjawab Bersama
Melayu itu orang yang bijaksana. Nakalnya bersulam jenaka. Budi bahasanya tidak terkira. Kurang ajarnya tetap santun. Jika menipu pun masih bersopan. Bila mengampu bijak beralas tangan. Melayu itu kaya falsafahnya. Kias kata bidal pusaka. Akar budi bersulamkan daya. Gedung akal laut bicara. Menikam dengan pantun. Menyanggah dengan senyum. Marahnya dengan diam. Merendah bukan menyembah. Meninggi bukan melonjak.
Kata-kata penyair terkenal Allahyarham Usman Awang, menggambarkan uniknya peribadi orang Melayu. Suatu ketika dahulu, orang Melayu amat terkenal dan sinonim dengan budaya budi bahasa. Tidak kira samada dalam pertuturan seharian atau tingkah laku. Begitu juga, pepatah yang dicipta oleh generasi terdahulu, rata-ratanya menggambarkan tatacara dan adat resam dalam kehidupan seharian. Antaranya, ungkapan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan; biar mati anak jangan mati adat dan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Hal yang sama juga ditekankan sejak dari kecil, iaitu menghormati orang yang lebih tua dengan cara menundukkan badan ketika lalu di hadapan orang dan tidak menyampuk perbualan orang tua. Hal ini merupakan gambaran tentang keindahan dan kemurnian budi bahasa yang ditonjolkan oleh generasi terdahulu.

Budi Bahasa sewajarnya bukan satu perkara yang asing dalam kehidupan seharian kita selaku orang Timur. Sejak zaman berzaman, budi bahasa menjadi asas bagi seseorang individu. Satu ungkapan membuktikannya, biar buruk paras rupa, tapi kaya budi bahasa. Namun, isu yang timbul ialah apa sudah jadi dengan masyarakat hari ini, sehinggakan budi bahasa perlu dikempen? Berdasarkan tajuk, perkataan budi bahasa perlu di dahulukan dengan perkataan kempen. Sedangkan kempen merujuk kamus Dewan Bahasa dan Pustaka membawa makna suatu usaha yang dirancang dengan menggunakan penerangan (rayuan) bagi mempengaruhi pendapat umum atau ringkasnya agar budi bahasa dapat dibudayakan dalam kehidupan seharian masyarakat hari ini. Sebagai jawapan awal, kempen diwujudkan kerana terhakisnya nilai-nilai kesopanan dalam kehidupan seharian segelintir masyarakat hari ini.

Senario masyarakat gambaran budi bahasa semakin luntur
Sedar atau tidak, adakalanya inseden-inseden yang berlaku di negara kita hari ini amat membimbangkan. Hampir setiap hari, media membongkarkan isu-isu yang kadang-kadang tidak tergambar di fikiran kita. Isu samseng di jalan raya, tabiat memandu yang kurang sopan, pelajar pukul guru dan anak bunuh bapa. Kebanyakan inseden-inseden ini berakhir dengan pergaduhan atau lebih teruk kematian. Begitu juga beberapa aduan yang dinyatakan oleh pelanggan-pelanggan yang melibatkan perkhidmatan di kaunter-kaunter khususnya di sektor-sektor awam. Antaranya kekasaran terhadap pelanggan dan layanan sambil lewa seperti yang berlaku di hospital-hospital. Isu ini pula akan berakhir dengan saman menyaman yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat hari ini. Hal yang sama berlaku terhadap harta benda awam yang sering dijadikan tempat mencurahkan perasaan. Gejala vendalisme berlaku ke atas hampir semua tempat-tempat awam seperti tandas dan taman-taman permainan. Melihat kepada rentetan inseden-inseden di atas, jelas menggambarkan bahawa ini adalah akibat atau kesan kepincangan nilai budi bahasa dalam masyarakat hari ini. Seterusnya, sindrom-sindrom negatif ini terus juga berlaku sehingga akhirnya menjadi suatu kebiasaan ataupun menjadi budaya yang merosakkan masyarakat. Suatau perkara yang amat menyedihkan, masyarakat seperti tidak mempunyai kesedaran dan kebiasaan terhadap inseden-inseden tersebut atau kata ringkasnya seperti sudah lali. Ke manakah perginya budi bahasa yg suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan orang Melayu.

Budi bahasa elemen penting membina kemajuan negara.
Adakah budi bahasa penting dalam mengejar kemajuan? Hari ini, teknologi kita hebat. Negara kita mempunyai jalan yang baik, tapi kesopanan masyarakatnya makin tercalar. Memetik kata-kata Yang Berhormat Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi , beliau menegaskan bahawa budi bahasa dan nilai-nilai murni merupakan agenda utama negara dalam menuju kemajuan. Tidak dinafikan untuk mencapai kemajuan , memerlukan rakyat berusaha dengan lebih kuat untuk mendapatkan teknologi yang canggih. Tetapi ini tidak bermakna masyarakat perlu meninggalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Dalam era globalisasi ini, kejayaan negara kita bergantung pada pembangunan minda rakyatnya. Pembangunan minda ini bermakna rakyat bukan sahaja perlu ada ilmu yang meliputi kepakaran-kepakaran seperti bidang kejuruteraan, teknologi , perkomputeran dan kedoktoran. Malahan rakyat wajib ada beberapa elemen seperti budi bahasa, ketulusan , kejujuran, integriti dan akauntabiliti. Elemen-elemen inilah yang akan menyeimbangkan kemajuan yang dikecapi kelak. Kita tidak mahu mencapai kejayaan atau objektif yang diletakkan atas kesengsaraan orang lain. Antara contoh, peristiwa yang berlaku di sesetengah negara berkuasa besar. Mereka melancarkan nukleur ke negara-negara kecil atas alasan untuk menguji tahap kekuatan bahan mereka, sedangkan negara-negara kecil ini turut mengalami kemusnahan. Begitu juga dengan persekitaran atau bentuk muka bumi. Akibat ingin mencapai kemajuan jalan raya contohnya, bukit-bukit ditarah dan habitat flora dan fauna di ganggu. Hasilnya, kita berjaya dalam sesuatu bidang tetapi kita kecundang dalam bidang yang lain.
Seterusnya, pembangunan minda juga berkait rapat terhadap corak pemikiran seseorang individu dalam masyarakat. Kepincangan budi bahasa akan mengakibatkan seseorang mengambil tindakan di luar dugaan dan adakalanya tanpa memikirkan nilai kemanusiaan serta ketamadunan. Secara fizikal atau luarannya, mungkin seseorang individu itu berjaya. Tetapi hakikatnya dia mundur dan gagal dalam mencapai kemajuan. Identiti dan jati diri semakin luntur akibat melihat dan mengejar keuntungan dalam bentuk metarial semata-mata. Sewajarnya, kita perlu memperbaiki aspek dalaman atau peribadi bagi memastikan masyarakta kita benar-benar menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun. Budaya dan sistem nilai khususnya budi bahasa inilah yang menjadi indikator atau penanda aras sebenar kemajuan bagi sesebuah negara. Justeru, sikap berpuas hati terhadap aspek luaran perlulah dibetulkan sebagaimana yang disarankan di atas.

Budi bahasa merupakan tuntutan semua agama.
Budi bahasa menjadi tuntutan setiap agama. Begitu juga agama Islam yang menuntut supaya penganutnya mempunyai adab dan sopan atau dengan kata lain berbudi bahasa dalam pergaulan. Rasulullah merupakan contoh terbaik bagi umat Islam dalam kehidupan seharian, sebagai contoh dalam Baginda bermuamalah. Keindahan akhlak dan budi bahasa Baginda bukan sahaja diakui oleh masyarakat muslim tetapi turut diakui oleh masayarakat bukan Islam. Konsep yang boleh dijadikan contoh oleh para pekerja khususnya di bahagian kaunter bagi sektor awam ialah memberi salam.
Ucapan salam adalah merupakan tuntutan ketika bertemu. Kemudian diikuti dengan sikap ramah dan terbuka. Kesediaan seseorang pekerja dalam memberikan perkhidmatan merupakan pakej terpenting sekaligus sebagai gambaran terhadap keseluruhan sesebuah organisasi. Rasullah S.A.W. bersabda yang bermaksud , "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah-lembut dalam semua perkara". Ajaran-ajaran dari agama lain juga menuntut penganutnya supaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai baik. Realitinya, sebagai penganut agama yang baik, setiap individu itu mampu dan berupaya mempertingkatkan budi pekerti kerana ia bermula dengan suara hati dan pertuturan. Perintah Allah dalam surah an-Nisa ayat 148 bahawa ; " Allah tidak suka akan perkataan jahat yang keluar dari mulut seseorang, melainkan perkataan yang keluar itu dari mulut orang yang dizalimi dan Allah sesungguhnya, maha Mendengar dan Mengetahui." Justeru, berdasarkan ayat di atas, wajar bagi semua penjawat dan anggota perkhidmatan awam terutama di bahagian kaunter untuk menghayatinya. Perkhidmatan yang mesra dan penuh adab pasti memuaskan hati masyarakat. Senyuman yang ikhlas merupakan hadiah untuk pelanggan.Hal yang sama perlu diamalkan oleh pelanggan. Tindak balas dan respon yang baik akan menghasilkan persekitara yang harmoni sekaligus dapat meningkatkan kecekapan mutu dan imej perkhidmatan.

Pengaruh barat cabaran masyarakat berbudi pekerti
Suatu perkara yang tidak dapat dinafikan, pengaruh barat merupakan cabaran masayrakat hari ini. Dr Yusof al-Qardawi mengatakan bahawa masyarakat Islam hari ini perlu berhadapan dengan serangan pemikiran atau ghuzwatul fikr. Negara kita tidak berhadapan dengan serangan senjata api yang hebat sepertimana negara-negara lain seperti di Palestin atau di Lebnon, tetapi penjajahan pemikiran dan minda sedang meembelenggu khususnya remaja hari ini. Masyarakat telah biasa menonton berita atau hiburan yang berbentuk ganas dan melalaikan. Berlarutanlah tabiat suka mengikut dan meniru gaya khususnya hiburan dari barat. Antaranya isu black metal dan terkini isu remaja gothic. Kedua-dua gejala ini bermula dengan muzik dan akhirnya membawa pengikutnya terpesong dengan adat ketimuran. Lebih malang lagi apabila melibatkan isu aqidah. Masyarakat seperti mengambil sikap pentingkan diri, emosional dan tidak bertanggungjawab. Walaupun realitinya, masalah kemerosotan nilai-nilai dan budi bahasa merupakan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan negara. Namun, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh. Masyarakat menjadi mudah lupa dengan didikan yang diberikan samada di rumah atau di sekolah apabila berhadapan dengan media massa.

Sehubungan dengan itu, jelas menunjukkan bahawa cabaran kepada budi bahasa adalah lebih sukar dalam zaman komunikasi dan metarialisme kini, berbanding zaman dahulu. Kita boleh mengimbau zaman terdahulu bagaimana niali-niali berbudi bahasa ditekankan bermula di peringkat rendah. Natijahnya, generasi dahulu kental menghadapi cabaran dan mungkin juga disebakan cabaran dahulu tidak sehebat hari ini. Namun, peredaran masa mengubah segalanya. Hari ini, pendedahan dan lambakan maklumat menjadi cabaran utama. Kita tidak boleh menidakkan kepentingan informasi dan maklumat yang kini hanya boleh diperolehi di hujung jari dengan sekelip mata. Kita tidak mahu masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang jumud dana tidak terbuka seperti katak di bawah tempurung. Namun, tapisan dan penilaian wajar dilaksanakan dengan menjadikan nilai-nilai murni seperti budi bahasa dan penerapan aspek keagamaan sebagai panduan dan batasan terhadap tindakan masyarakat khususnya generasi remaja .

Laksana kempen tanggungjawab bersama
Merujuk kepada beberapa fenomena yang dinyatakan di atas, kita melihat sewajarnya melaksanakan kempen berbudi bahasa ini menjadi tanggungjawab bersama. Hal ini disebabkan oleh budi bahasa bukan agenda sisipan untuk negara, tetapi merupakan penyeimbang kemajuan. Di samping itu, negara telah meletakkan budi bahasa sebagai satu asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, bermula dari rukun negara hinggalah wawasan 2020. Begitu juga dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh antara 2006 dan 2010 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau sanggup memperuntukan sejumlah wang yang banyak untuk pembinaan modul insan. Justeru, kempen berbentuk kesedaran bukan sahaja di peringkat kepimpinan negara. Tetapi, melibatkan semua golongan dan laspisan masyarakat di Malaysia. Melalui kempen yang sentiasa berjalan, setiap lapisan masyarakt akan sentiasa dapat menghayati sekaligus membantu bagi mengamalkan amalan berbudi bahasa dalam era yang cukup mencabar kini.

Segala-galanya bermula di rumah dan persekitaran
Rumah adalah tempat paling baik untuk memulakan pendidikan. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlu untuk menunjukkan contoh yang terbaik bagi anak-anak. Ibu bapa perlu mempraktikkan semula nilai-nilai murni dan budi bahasa yang menjadi warisan generasi terdahulu. Kesibukan bekerja bukan alasan untuk memupuk ciri-ciri keperibadian yang luhur samada untuk diri sendiri ataupun untuk anak-anak dengan sempurna. Merujuk Majalah Dewan Masyrakat keluaran Oktober 2006 dalam membicarakan isu gothic dikalangan remaja belasan tahun sekitar Kual Lumpur. Kebanyakan remaja ini menjadikan alasan bosan dengan kesibukan ibu bapa bekerja sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak antara faktor mereka terjebak dengan gejala seumpama itu. Selain itu, tidak dinafikan faktor kurangnya didikan agama dan adat budaya ketimuran di rumah mereka sehinggakan mereka memilih budaya luar sebagai cara hidup mereka. Remaja ini pada mulanya hanya suka-suka dan ikut-ikut akhirnya menjadi budaya yang sukar dikikis dan lebih malang lagi apabila melibatkan masalah aqidah. Sekiranya mereka terus hanyut dengan budaya ini, bagaimanakah kepimpinan negara pada masa akan datang? Siapakah yang akan menggantikan generasi hari ini dalam meneruskan kemajuan yang telah dikecapi ?

Institusi Pendidikan dan sektor awam dan swasta
Peranan penting juga harus dimainkan oleh institusi pendidikan , sektor awam dan swasta. Kempen-kempen yang diterapkan di ketiga-tiga bahagian ini akan membantu untuk menghidupkan persekitaran atau suasana yang baik. Kempen-kempen yang diadakan seperti meletakkan papan tanda yang ditulis ayat-ayat seperti Budi Bahasa Amalan Kita merupakan satu usaha yang patut dipuji. Sektor-sektor yang melibatkan perkhidmatan harus memandang perkara ini dengan serius. Satu perkara yang harus di ingat oleh setiap kakitangan yang terlibat dengan perkhidmatan, rakyat merupakan pelanggan kita. Contohnya, di kaunter-kaunter pendaftaran, setiap kakitangan perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku akibat ketidakfahaman masyarakat. Setelah kerenah-kerenah ini jika dilayan dengan baik, ia akan memuaskan hati masyarakat. Hal ini juga akan dikira sebagai ibadah dan dipandang tinggi bukan sahaja masyarakat di dunia, tetapi semua makhluk Allah.
Disamping itu, program dan kempen yang dilaksanakan oleh institusi pendidikan seperti sekolah juga merupakan usaha yang baik dan patut dipuji. Kempen-kempen seperti Kempen Bulan Budi Bahasa dan Bahasa Jiwa Bangsa, perlu didedahkan dikalangan pelajar supaya mereka tahu peripentingnya berbudi bahasa. Seterusnya, peranan yang dimainkan oleh guru sangat penting. Guru merupakan ibu bapa kedua bagi pelajar. Guru boleh menggunakan masa mengajar untuk diselitkan budi bahasa dan amalan murni bagi setiap mata pelajaran. Bayangkan, berapa banyak masa yang dihabiskan oleh seorang pelajar di sekolah. Alangkah ruginya jika masa mereka tidak dimanfaatkan untuk penerapan nilai-nilai murni ini. Pelajar yang baik dan berbudi bahasa adalah gambaran dan imej negara pada masa akan datang.

Peranan Media
Media juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mewarnai corak kehidupan generasi hari ini. Satu fakta yang tidak dapat dinafikan, hampir semua orang memiliki televisyen. Termasuk juga beberapa alat elektronik dan perhubungan yang lain seperti VCD, telefon bimbit dan kemudahan internet. Semua teknologi ini mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Ini bergantung kepada keperibadian pengguna sendiri. Sekiranya tidak digunakan dengan baik, maka berlakulah lambakan maklumat dan informasi yang berbentuk pornografi dan tidak mendatangkan faedah kepada pembaca. Majalah-majalah picisan, laman web yang tidak baik dan sebahagian rancangan televisyen kebanyakannya mudah untuk diperolehi dan adakalanya tanpa caj yang mahal. Adalah lebih sukar untuk mencari sekotak mancis berbanding bahan-bahan bacaan picisan di negara kita hari ini.
Sewajarnya, kemajuan teknolgi yang ada digunakan sebaik mungkin supaya dapat mendidik generasi agar berbudi bahasa dan pandai menilai sesuatu bahan yang diterima. Bukan menerima tanpa usul periksa. Kesannya, masyarakat kita rosak mindanya dan hilang nilai-nilai murni yang menjadi tuntutan. Media merupakan aset yang sangat hampir dengan kehidupan masyarakat hari ini. Kempen-kempen perlu diperluaskan melalui kemajuan teknologi ini. Televisyen perlu memberi kerjasama bagi menyekat program-program atau iklan-iklan yang tidak sesuai untuk ditonton. Pihak kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri perlu menguatkuasakan undang-undang supaya masyarakat sedar tentang bahaya terpengaruh dengan budaya luar sekaligus mencemar imej negara.

Kesimpulannya, usaha ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dari setiap golongan. Bermula generasi muda sehinggalah peringkat pemimpin. Budi bahasa bukan agenda biasa, tetapi merupakan agenda terpenting dalam negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Sewajarnya, kita sebagai rakyat Malaysia perlu belajar bagaimana untuk mencapai kejayaan tanpa mengorbankan peradaban dan nilai budi bahasa rakyat Malaysia. Kita tidak mahu, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan teknologi kita mengabaikan perkara asas dalam pembentukan peribadi individu itu sendiri.

Thursday, October 30, 2008

Cubalah Menjadi Rumput Penutup Bumi

“Saya tak pandai…”
“ Isy.. tak naklah. Nanti apa orang kata…”
Itulah ayat yang biasa didengar apabila diminta untuk bercakap di hadapan, terutama bagi mereka yang bergelar muslimah. Saya bukanlah orang yang hebat dalam berkata-kata, tapi rasa ingin mencuba itu perlu ada dalam diri kita. Biarpun salah, janji semangat ingin mencuba itu mesti ada. Tapi awas, ingin mencuba itu berbeza dengan ingin menunjuk. Namun, apabila dikata mahu mencuba kita mesti bersedia untuk menerima teguran dan berubah. Nanti, baru ada kemajuan..

Hari ini melakar satu pembaharuan dalam hidup saya. Alhamdulillah, lahirlah blog saya iaitu ‘Haruman Kasturi’. Seringkali timbul rasa cemburu di hati kerana saya memang sangat minat untuk menulis. Tetapi kekangan masa kadangkala membataskan kita.. Suami saya selalu juga mengingatkan, jangan jadikan masa itu sebagai alasan… mungkin kita yang GAGAL dalam pengurusan masa. Teringat kata-kata Y Bhg Dato’ Hj Fadhilah Kamsah, motivator terkenal di negara kita. Saya rasa wajah Y. Bhg Dato’ dari dulu sewaktu beliau sering muncul di kaca televisyen dalam motivasi pagi dan Malaysia Hari Ini zaman Aziz Desa (Mat Cermin) sampai sekarang Aziz Desa (Nasi Lemak Kopi O), wajahnya masih tidak berubah.. Kata beliau, orang yang sering memberi alasan adalah orang yang menipu dengan cara terhormat. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan tersebut. Dalam al-quran juga ada beberapa ayat yang Allah menempelak orang yang sering memberi alasan..



Teringat saya kepada sebuah kata-kata , “ sekiranya kita tak mampu menjadi bunga penghias taman, maka berusahalah sekalipun menjadi rumput penutup bumi.” Bagi saya, kata-kata ini sangat memberi kesan dalam diri saya. Secara umumnya kita ketahui, bahawa setiap kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihan tersebut harus kita gunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kita mampu memberi sumbangan pada Islam itu sendiri. Mungkin kita tidak mampu memberi pengisian atau ceramah seperti orang lain, tapi paling tidak kita berusaha untuk membantu bagi menjayakan ceramah tersebut, seperti sediakan bahan edaran dan sebagainya. Jangan pula kita yang menjadi lalang atau kemuncup di bumi (teringat buku Y Bhg Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang bertajuk Kemuncup Dalam Perjuangan).



Semoga kita mampu memberikan sumbangan yang terbaik dalam hidup ini kepada masyarakat. Hadis Rasulullah,
Sebaik-baik Manusia Adalah Manusia Yang Mampu
Memberi Manfaat Kepada Orang Lain’

Buat Yang Bergelar Muslimah...

Sekadar renungan bersama....

Ya Allah,

Andai Di Takdirkan Cintaku Dimiliki
Oleh Seorang Insan Bergelar Lelaki
Ku Harap Cintanya Pada-Mu Melebihi
Cintanya Padaku
Ku Harap Kasihnya Pada-Mu Melebihi
Kasihnya Padaku
Kerana, Itulah Jaminan Untukku
Bahawa Dia Adalah Pengikut-Mu

Ya Allah,

Andai Di Takdirkan Untukku
Di Dunia Yang Fana Ini
Untuk Aku Memiliki
Cinta Seorang Lelaki
Ku Harap Cintaku Pada-Mu Melebihi
Cintaku Padanya
Ku Harap Kasihku Pada-Mu Melebihi
Kasihku Padanya
Kerana, Itulah Jaminan Untuk Dirinya
Bahawa Aku Adalah Pengikutmu Yang
Setia

Ya Allah,

Tidak Ku Harap Rupa Dan Harta
Cuma Yang Ku Pinta Ilmu Di Dada
Dapat Membawa Aku Ke Jalan Syurga

Ya Allah,

Tidak Ku Harap Hebat Berketrampilan
Cuma Ku Pinta Ketegasan
Dalam Mengajar Aku Erti Kehidupan
Mendidik Anakku Mengenal Tuhan

Ya Allah,

Itulah Impian, Itulah Harapan
Seolah-Olah Angan-Angan Yang
Tidak Berkesudahan
Namun Aku Yakin,
Dengan Doa Yang Berterusan
Insyaallah Akan Di Makbulkan

Namun,
Seandainya Bukan Di Sini
Kasihku Terlerai, Cintaku Bersemi
Pada Insan Bernama Lelaki
Ku Pasrah Menanti
Cinta Hakiki..
Cinta Ukhrawi..
Cinta Syurgawi......;

Salam Ukhuwah

Bismillahirahmanirahim
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Moga-moga permulaan yang baik di penghujung syawal ini bakal membuahkan rasa ukhuwah di antara kita semua. Salam perkenalan buat semua....
Sirru Ala Barakatillah