Tuesday, May 12, 2009
PENGURUSAN JENAZAH : BERSEDIAKAH KITA ??
Sabtu dan Ahad yang baru sahaja berlalu agak memenatkan. Dalam keadaan berbadan dua ini, saya gagahkan hati dan kuatkan semangat bagi memastikan masa yang saya peruntukan memberi bekas dan manfaat dalam diri saya. Sesekali saya mengingatkan bayi dalam kandungan,
“ Ummi nak belajar. Anak Ummi kena kuat dan bagi semangat pada Ummi. Ummi nak anak Ummi boleh mengisi tuntutan2 agama yang bukan semua orang boleh buat satu hari nanti.” Detik dihati sambil mengusap-usap perut.
Sebenarnya, ini merupakan kali ketiga saya mengikuti kursus pengurusan jenazah. Namun, saya tidak pernah sekalipun berkesempatan menguruskan jenazah ‘real’. Bukan tak pernah saya offer diri untuk bantu semasa bertugas di penjara. Kadangkala, bila tiba masa ada saja halangan dan dugaan yang menyebabkana saya tidak terlibat. Husnul Dzan…. Mungkin, belum rezeki lagi. Atau mungkin juga saya tidak layak untuk mengikutinya.
Bermula dengan hari Sabtu…
Banyak pengisian yang saya perolehi daripada para penceramah. Apa yang menarik, para peserta diberi peluang untuk melakukannya sendiri. Praktikalnya dan diminta untuk menjawab soalan berdasarkan pelbagai situasi. Setelah diberi penerangan, timbul keyakianan untuk melakukannya. Namun, apa yang penting, ilmu itu perlukan amalinya. Bak kata salah seorang penceramah tersebut,
” Biar jadi kuli dulu untuk belajar. Dengar dan raikan orang-orang yang biasa terlibat dengan urusan jenazah, sebelum kita menjadi ketua.”Insyallah, saya mesti cuba. Ini azam saya. Moga-moga dipermudahkan oleh Allah.
Hari Ahad, hari mencabar..
Pada keesokkan harinya kami dibawa ke kawasan perkuburan di Presint 20, Putrajaya dan di Unit Forensik, hospital Putrajaya. Seminggu sebelum berkursus, saya menghubungi bonda dan bertanya pendapat. Banyak sangat yang saya dengar tentang pantang larang ke kubur dan masuk bilik mayat bagi orang yang mengandung.Ada yang kata , nanti kena badi mayat. Ada juga yang kata, nanti demam dan macam-macam lagi.
Sewaktu berbincang dengan bonda, ini jawapan bonda.
“ Agak-agak kalau berani, pergi. Kita niat menuntut ilmu, bukan nak buat perkara yang tak senonoh. Jaga diri dan banyak berdoa pada Allah. Mak akan doakan ”
Jawapan itu menambah keyakinan saya. Begitu juga, jawapan yang hampir sama saya perolehi dari bonda mertua.
” Mama rasa takde masalah. Moga-moga anak kamu nanti jadi anak yang berani dan kuat semangat macam ummi dia.”
Saya pegang jawapan yang diberi oleh kedua-dua bonda tersayang. Insyaallah, anak ummi nanti jadi pejuang Islam yang berani menegakkan yang hak.
Setibanya di Presint 20, Putrajaya, saya terpaku seketika. Hampir menitiskan air mata. Bukan sebab takut, tetapi merenung diri sendiri. Inilah destinasi terakhir setiap yang bergelar insan. Tiada apa yang boleh dibawa bersama kecuali 3 perkara : sedekah jariah, doa anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat.
Melihat suasana yang jauh beza dengan kubur-kubur di tempat lain. Suasana kubur dalam taman. Teringat nostalgia ketika di kampung sewaktu menziarahi pusara datuk dan moyang. Kami hampir-hampir dikejar ’babi’ gara-gara kawasan kubur yang gagal diurus dengan baik. Kalau nak datang seorang diri, memang tak berani..
Kami diberi taklimat tentang cara menunaikan sembahyang jenazah dan menanam jenazah. Sebuah kubur digali oleh pihak Perbadanan Putrajaya. Patung yang telah siap dibalut dengan kain kapan diturunkan ke dalam liang lahat.
Subhanallah.... Begitulah pengakhirnya penghidupan kita nanti.
Selesai di kubur, kami bergerak ke Hospital Putrajaya. Di sana, kami di bawa ke Unit Forensik untuk diberi taklimat berkenaan bedah siasat yang dibuat. Kami dibawa ke bilik ‘bedah siasat’ dijalankan dan bilik jenazah diurus. Diterangkan juga bagaimana cara untuk menguruskan jenazah yang berisiko dan tidak berwaris. Kadang-kadang terpaksa disimpan semata-mata untuk menunggu waris menuntut jenazah tersebut. Begitu juga dengan waris yang berisiko, terutama yang berpenyakit HIV. Tatkala disebut penyakit HIV, terbayang dimata saya ’sahabat-sahabat’ saya di Penjara. Berapa ramai yang dihidapi penyakit tersebut, tidak diterima oleh keluarga. Kebanyakannya dijangkiti akibat najis dadah dan ada juga yang menerima padah daripada suami atau teman lelaki. Begitulah nasib insan yang bergelar wanita. Saya sering ingatkan mereka..
” Jika akak-akak semua merasakan akak-akak dipandang hina disisi masyarakat, satu perkara yang suka saya ingatkan.. Allah tidak pernah memandang hina kepada hamba-hambanya yang sentiasa beribadat dan memohon keampuanan daripadaNya. Oleh itu, kita masih belum terlambat untuk memohon daripadaNya.Jadikan penyakit yang akak-akak hadapi sebagai satu ujian untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita..”
Rindunya saya pada mereka...
Seterusnya, kami juga ditunjukkan gambar2 mayat yang dibedah siasat. Maha Suci Allah, sekali lagi emosi saya diuji. Samada kita sanggup untuk lihat atau tidak… Ada beberapa gambar yang diambil dalam keadaan isi perut terburai, mayat yang hangus terbakar dan pelbagai keadaan lain lagi. Keadaanya sangat mengerikan. Sesekali sahabat-sahabat yang turut hadir bersama saya, berbisik kepada saya..
”Agak-agaknya kematian mereka dalam keadaan begini, ada tak kaitan dengan kehidupan mereka sebelum mati?”
”Wallahu alam. Mungkin ada , mungkin juga tiada. Apa-apa pun kita doakan mereka digolongkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh” jawab saya ringkas.
Sesuatu yang menakjubkan saya. Betapa hebatnya ciptaan Allah. Bagaimana susunan organ-organ didalam perut kita berada dalam keadaan yang sangat baik. Namun, apabila sesuatu berlaku, isi perut terburai, lambakan organ-organ terkeluar seperti tidak disangka-sangka. Allahu Akbar. Moga kita dan generasi kita dijauhkan daripada dicuba dan diuji sedemikian rupa.Sebelum kami meninggalkan tempat tersebut, sempat saya bercakap dengan kakitangan di situ,
” Tahniah encik, Allah bagi anugerah dan kekuatan kepada encik untuk melakukan satu pekerjaan yang sangat mulia. Bukan mudah untuk kita perbaiki keadaan sesuatu mayat yang agak teruk untuk kembali kepada bentuk asal. Semata-mata kita cuba untuk pastikan dia mengadap Allah dalam kedaan yang sempurna. Buat kerja elok-elok dengan niat yang ikhlas, pasti ganjarannya sangat besar di sisi Allah”
Tersenyum dia mendengar kata-kata saya.
Lawatan kami berakhir hampir jam 3.30 petang. Alhamdulillah, sangat banyak yang saya belajar daripada pengalaman berkursus 2 hari 1 malam ini. Walaupun penat, namun saya puas. Moga-moga ilmu yang saya perolehi dapat dimanfaatkan bersama.
Setiap manusia itu pasti didatangi MATI. Takut MATI pun MATI, Berani Mati pun MATI. Bersedialah untuk menghadapi Kematian sebagai Permulaan kepada Kehidupan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment