Tuesday, May 5, 2009

Peningkatan Anak Tak Sah Taraf : Salah Siapa?

Perkongsian ini sempat saya tulis untuk renungan bersama..


Gejala anak tak sah taraf merupakan satu fenomena biasa mutakhir ini. Masyarakat, semacam telah lali dengan isu ini. Gejala ini juga berkaitrapat dengan fenomena pembuangan bayi. Buktinya, kalau suatu ketika dahulu, pembuangan bayi merupakan suatu yang asing, tetapi kini kes pembuangan bayi semakin menjadi-jadi dan memenuhi ruangan akhbar. Di tepi longkang, dalam tong sampah, tandas awam dan diperkarangan masjid antara lokasi yang sering menjadi tumpuan untuk pembuangan bayi. Secara jelas, keadaan ini menunujukkan manusia hari ini telah hilang pertimbangan dan lebih bersifat kebinatangan. Rata-ratanya, anak yang dibuang ini adalah kerana anak ini tidak mempunyai bapa yang sah atau secara ringkasnya dinamakan anak tak sah taraf.

Anak tak sah taraf boleh dalam istilah bahasa Arab disebut walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Berdasarkan perbincangan para fuqaha tentang nasab seseorang anak, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau pun persetubuhan syubhah.

Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan, istilah anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah dan sama, peruntukan undang-undang menyatakan: ‘tak sah taraf’ berhubungan dengan seseorang anak ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah’.

Menurut Fatwa Garis Panduan Anak tak sah taraf Menurut Hukum Syara’ di Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 28 April 2005, singhah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’, adalah:
1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara’.
2. Anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkad ad-dukhul’ dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.
3. Anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkad ad-dukhul’ selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar(pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat hukum syara’.

Anak Tak Sah Taraf Meningkat ?
Merujuk kepada akhbar Kosmo, 30.10.2008, menyatakan sebanyak 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari tahun 2000 hingga Julai 2008. Hal ini di sahkan oleh Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albari ketika menjawab soalan lisan R. Sivarasa (PKR-Subang) semasa sesi soal jawab Dewan Rakyat 29 November 2008 yang lalu. Jumlah ini bukanlah satu jumlah yang sedikit. Ini belum termasuk anak-anak yang dilahirkan , tetapi tidak didaftar kepada Jabatan Pendaftaran Negara. Begitu juga dengan kedudukan anak yang dibuang, mati reput di celah-celah longkang dan anak yang digugurkan. Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 36. Manakala 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007 membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput.

Daripada angka di atas, sedikit pengiraan boleh dibuat agar kita dapat teliti dan perincikan bersama. Jika kita meneliti dari data yang diberikan sejak tahun 2000 sehingga Julai 2008 ini bermakna memakan masa selama 103 bulan, dan bilangan harinya adalah 3090 hari (103 X 30). Secara purata di mana ada hampir 2,500 (iaitu 257,411 ÷ 103) kes anak luar nikah setiap bulan didaftarkan secara rasmi, dan ini bermakna setiap hari secara purata Jabatan Pendaftaran menerima 83.3 kes (257411 kes ÷ 3090 hari) pendaftaran anak luar nikah. Ini juga bermakna secara statistiknya satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam masa 17 minit 17 saat.
Bayangkan, lambakan anak-anak yang tidak berdosa ini dilahirkan. Mari kita lihat pula kadar pembuangan bayi di Negara kita. Pembuangan bayi juga semakin parah di mana sebanyak 228 kes buang bayi direkodkan di seluruh negara sepanjang 2004 hingga tahun 2006. Kes paling banyak dilaporkan di Selangor dengan 69 kes, 59 kes berlaku di Johor, seterusnya 29 kes bagi Sabah dan 25 kes berlaku di Sarawak. Ini bermakna, secara puratanya setiap bulan sebanyak 6.33 (228/36) kes buang bayi berlaku. Jadi, jika dinisbahkan dengan hari, maka pada setiap 5 hari 1 jam ada seorang bayi yang dibuang. Allahu akbar, beginilah reality masyarakat kita hari ini.

Ini merupakan kesan dan impak daripada peningkatan kebejatan atau kerosakan akhlak dikalangan masyarakat kita hari ini. Apabila manusia hidup tanpa pegangan agama yang kuat, kehidupan menjadi purak peranda. Halal dan haram menjadi mainan. Perintah dan hukum Allah tidak diambil berat. Sebaliknya hanya dipandang enting. Metarial dan keseronokan hawa nafsu menjadi pegangan. Matlamat hidup hanya cintakan dunia dan benci pada akhirat.
Daripada Tsauban radhiAllahu `anhu berkata: Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam bersabda:
"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".
Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"Nabi sollallahu `alaihi wasallam menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan' ".
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". (Riwayat Abu Daud)


Bersambung…

Rujukan :
1. Kertas Kerja Anak Tak Sah Taraf : Mengikut Hukum Syara’. Dato’ Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor
2. Akhbar Kosmo : 30.10.2008
3.Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat
4.Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan 1987-2007

No comments: