Wednesday, November 12, 2008

Jika Itu Takdirnya, Redhakanlah...

Semalam , hari kesedihan untuk suami saya. Walaupun kami masih lagi terpaksa tinggal berjauhan, namun nada suaranya melalui corong telefon benar-benar merisaukan saya.
" abang ok ke hari ini?"
" Abang tak ok" jawapan yang mengejutkan. Saya terdiam
" Ustaz abang meninggal dengan cara yang sangat mengejutkan dan menyedihkan. Dah lama dia berpesan supaya abang bawa 'sayang' jumpa dia. Tapi, sejak kita kahwin, abang tak sempat tunaikan hajat dia." Saya hanya mendengar kata-kata suami tersayang.
"Abang, jika itu tanda untuk nya, redhakanlah..." saya menjawab ringkas.

Menurut kata suami, Ustaz khairudin bekerja sebagai pembantu di Pejabat Mufti, Negeri Perak. Kematiannya mengejutkan akibat ditetak oleh penyamun ketika allahyarham bekerja sambilan sebagai juruwang di Petronas. Orangnya sangat hebat. Peramah, mudah mesra dengan orang lain dan sangat disenangi ramai. Seorang yang sangat cintakan perjuangan. Suami mengenalinya sejak kecil lagi dan sering menziarahinya.Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 6 cahaya mata. Anak bongsunya baru berumur 4 bulan.

"Allah... beratnya dugaan buat si isteri..."
Moga isteri Allahyarham tabah dalam ujian yang mendatang.

Pulang dari menziarahi Allahyarham petang semalam, suami saya masih lagi menyatakan sedih dengan peristiwa yang menimpa melalui perbualan telefon..

Beginilah rezeki kami. Berjumpa hanya di hujung minggu, yang menghubungkan hanya melalui talian telefon. Semoga Allah permudahkan jalan kami untuk tinggal dan hidup bersama.

Saya sertakan sekali petikan akhbar metro tentang pemergian Ustaz Khairudin untuk tatapan semua. Semoga Allah memberkati roh Allahyarham dan menempatkan di tempat orang-orang beriman , Insya Allah.

Dua perompak tetak ustaz
Oleh Rosdalilah Zahari dan Yusliza Yakimir Abd Talib
am@hmetro.com.my

IPOH: “Saya terus melarikan diri untuk menyelamatkan diri apabila seorang daripada perompak mahu menetak saya dengan parang,” kata Norazila Mohd Sufian, 30, juruwang stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini, yang disamun empat perompak, semalam.

Katanya, dia tiba jam 6.45 pagi di tempat kerja kerana mahu mengeluarkan wang dipesan ibu di mesin juruwang automatik (ATM) selain menggantikan Mohd Khairuddin Mohamed Isa, 42, yang bekerja syif malam.

Ketika sampai di situ, dia ternampak sebuah Proton Iswara dinaiki empat lelaki berhenti di sebuah pam minyak.

Namun, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka mereka pelanggan biasa yang mengisi minyak.

“Bagaimanapun, tiba-tiba dua daripada lelaki terbabit yang memakai topi keledar keluar dari kereta dan bersenjatakan parang masuk ke dalam kedai lalu menuju ke kaunter pembayaran.

“Saya dengar Mohd Khairuddin yang mesra dengan panggilan ustaz menjerit kesakitan di belakang kaunter pembayaran akibat ditetak di kepala oleh dua lelaki terbabit sehingga berlumuran darah.

“Saya yang terkejut dengan insiden itu tergamam seketika berdekatan mesin ATM dan tanpa diduga seorang daripada perompak terbabit datang ke arah saya,” katanya.

Akibat terlalu takut, Norazila berkata, dia segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri sehingga kad ATM-nya ditelan mesin.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi semalam, Mohd Khairuddin yang juga seorang pembantu tadbir di Jabatan Agama Islam Perak, ditetak sehingga mati oleh perompak terbabit.

Norazlina menyifatkan Mohd Khairuddin yang bekerja sambilan sebagai juruwang di stesen minyak itu seorang yang disenangi semua rakan kerana peramah dan berpekerti mulia.

“Pemergian arwah meninggalkan kesan kepada semua pekerja kerana dia banyak membantu meringankan tugas kami selain tidak pernah merungut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, ketika dihubungi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Dalam kejadian itu, dua daripada empat perompak yang bersenjatakan parang menuju ke kaunter pembayaran lalu terus mengugut mangsa sebelum menetak kepalanya.

“Mereka merampas wang tunai dianggarkan RM1,000 dan melarikan diri dengan sebuah Proton Iswara dipercayai menggunakan nombor plat palsu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Polis sedang mengenal pasti identiti keempat-empat suspek terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

4 comments:

Anonymous said...

Kenapa letak berita metro....awak karang la ulasan ker apa ker yang patut hmmm....komen membina nie....

ummu azkiya' said...

terima kasih atas komen yang membina.. saya letakkan berita dari harian metro itu merujuk kepada cerita kematian ustaz khairudin(guru suami saya) yang saya cerita sebelum itu. kes pembunuhannya kejam sehingga dapat liputan akhbar..apa-apa pun, jazakallahu khairan jaza'. Insyallah, lain masa saya ulas.
barakallahu fik

Anonymous said...

Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah
tak de artikel menarik ker....hari ini....

Anonymous said...

CUTI RAYA KER NAK PERGI RAYA UMH USTAZAH BOLEH TAK..?