Wednesday, November 5, 2008

Kepelbagaian Dakwah

Rasulullah pesan pada kita , " Sampaikanlah walaupun satu ayat"
Ini jelas menunjukkan peripentingnya tuntutan dakwah dalm hidup kita.. Realiti hari ini menuntut para pendakwah untuk maju ke hadapan bagi mendepani arus semasa hari ini. Kalau satu ketika dahulu, mungkin surat khabar, majalah atau televisyen menjadi penyampai maklumat. namun, hari ini maklumat seolah-olah di hujung jari anda.. Cuma , bagaimana saringan dan kawalan yang perlu dibuat bagi memastikan maklumat yang diterima adalah terbaik dan bersih daripada perkara-perkara yang kurang enak.

Pada kali ini, saya sertakan bersama artikel yang pernah saya tulis berkaitan kepentingan dakwah melalui multimedia dalam kehidupan hari ini. Semoga mendapat manfaat bersama...



Realitinya hari ini, multimedia merupakan salah satu uslub dakwah yang diterima oleh masyarakat. Sebelum wujudnya multimedia sebagai salah satu aplikasi teknologi di negara kita, media masa merupakan tumpuan masyarakat untuk mendapatkan maklumat. Merujuk kepada The Star, 8 Mei 1997 , satu kajian yang dijalankan di Lembah Klang menunjukkan bahawa pendedahan kepada media di kalangan remaja adalah seperti berikut :
Televisyen : 14.6 jam seminggu
Video : 3.4 jam seminggu
Komputer : 4.1 jam seminggu
Radio : 16.3 jam seminggu
Akhbar : 7.1 jam seminggu
Buku dan komik : 4.7 jam seminggu (The Star, 8 Mei 1997)

Walaupun kajian ini telah dijalankan agak lama tempohnya, namun diyakini bahawa berlakunya pertambahan yang tinggi terutama bagi komputer, video dan televisyen.


Realitinya hari ini, hampir setiap rumah memiliki paling kurang sebuah komputer dan adalah tidak mustahil bagi remaja menghabiskan masa di hadapan komputer untuk melayari internet. Begitu juga halnya berlaku kepada televisyen dan sumber media yang menjadi tumpuan dan pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Sebuah artikel di dalam Jurnal Pemikir yang bertajuk “Imej Islam dalam media cetak”, Bakhtiar Mohamad & Mohamad Khadafi, (2004) menyatakan bahawa , televisyen dan sumber media massa lain secara kolektif mempengaruhi perlakuan dan tindakan seseorang. Menurut Bank dan Reed, remaja hari ini banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen, filem dan melayari internet. Impaknya, media mempengaruhi anak muda dalam membangunkan dan mengenal pasti identiti melalui budaya berbanding institusi sosial.

Hakikatnya, media seperti akhbar dan televisyen mempunyai cara pendekatan dan kemahiran yang cukup berbeza dengan penggunaan multimedia. Ini kerana internet dan multimedia merupakan wadah yang interaktif dan gaya serta aplikasi yang berbeza berbanding komunikasi biasa. Apabila situasi ini berlaku, jelas menunjukkan peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh para pendakwah untuk menguasai teknologi sekaligus menjadikannya sebagai method untuk menyebarkan Islam. Sirah perkembangan Islam menunjukkan teknologi bukanlah suatu yang asing, tetapi sentiasa berkembang mengikut potensi, kemahiran dan perkembangan manusia. Sebagai bukti, teknologi yang berkaitan dengan mesin seni bina, ketenteraan, perkapalan, kimia , tekstil dan komunikasi berkembang maju membantu membangunkan Islam sebelum abad ke 16. Isi kandungan di dalam al-Quran merupakan pencetus kepada pengkajian sains dan teknologi. Firman Allah,

“ Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan kamu tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur.”
(Surah Al-Nahl :78)

Konsep mendengar, melihat dan mengingat merupakan konsep yang penting dalam pemprosesan maklumat yang dilakukan oleh multimedia. Ini menunjukkan, seorang pendakwah perlu bijak dan kreatif dalam menggunakan peluang yang ada. Umat Islam juga perlu menggunakan akal yang waras dan berfikir dengan lebih jauh agar tidak ketinggalan zaman. Kini, era globalisasi semakin mencabar dengan pelbagai lambakan maklumat yang boleh diterima dan diekses oleh sesiapa dengan cara yang mudah. Justeru, para pendakwah juga tidak ketinggalan untuk berubah mengikut perkembangan semasa. Kita tidak menidakkan fungsi atau kebaikan dakwah secara tradisional, tetapi sebaliknya melangkah satu tapak ke hadapan supaya lebih profesional dan efektif dalam menyebarkan ilmu pengetahuan.

“Yang demikian itu, adalah Allah sesungguhnya tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkannya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu
merubah apa yang ada pada mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahu” (Surah al-Anfal : 53)

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, wajib kepada setiap individu dalam masyarakat untuk tampil kehadapan dan berani untuk membuat sebarang perubahan, samada dari segi sikap dan pemikiran untuk mencapai taraf hidup yang lebih cemerlang dan baik tanpa melanggar batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Allah juga turut mengecam sikap degil orang-orang musyrikin Mekah yang terlalu taasub dan fanatik terhadap ajaran nenek moyang dan upacara tradisional mereka sejak zaman berzaman. Allah merakamkan dialog tersebut melalui firmanNya :

“Dan apabila dikatakan kepada mereka : “Ikutilah apa yang diturunkan Allah,” mereka menjawab : “Tidak, tetapi kami hanya mengikut apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami.” “(Apakah mereka akan mengikuti juga ), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?.”
(Surah al-Baqarah : 170)

Sejarah membuktikan bagaimana kaum terdahulu tidak mahu membuat perubahan lantaran berpegang teguh dengan ajaran nenek moyang. Realitinya, multimedia mampu menjadi pemangkin ummah melalui sebaran maklumat yang diperkayakan diperolehi dengan pantas dan peluang berinteraksi atau berhubung merentasi batasan penghalang samada geografi mahupun masa. Sebagai contoh, maklumat yang diperolehi boleh diolah dengan menggabungkan semua aplikasi seperti teks, bunyi, grafik dan animasi supaya mudah difahami oleh penerima secara lebih efektif. Seterusnya, maklumat multimedia tersebut boleh dihantar atau diekses oleh oleh sesiapa tanpa mengira jarak, tempat dan masa. Dengan cara ini, multimedia bukan sahaja dijadikan wasilah untuk berdakwah, malah ia boleh dijadikan wasilah untuk berukhuwah dan mengeratkan tali persaudaraan khususnya melalui web interaktif dan sidang video.
Namun, beberapa persediaan dalam memahami teknologi perlu diterapkan di kalangan para pendakwah terlebih dahulu. Antaranya, persoalan-persoalan berkenaan keperluan mengetahui sejauhmana ICT boleh menular masuk sekaligus mempengaruhi masyarakat Islam, mendasari kemahiran untuk menguasai peluang ICT dalam meneguhkan umat Islam, mengetahui cara dalam menguasai persekitaran digital dan persoalan terakhir adalah sejauh mana para pendakwah menyedari tentang kelemahan teknologi ini untuk dijadikan sebagai wasilah penyebar dakwah. Semua persoalan ini perlu diteliti oleh pendakwah agar lebih memahami keperluan menggunakannya dan untuk menjadikan medan dakwah lebih dinamik dan menarik. Bukan sekadar hanya terikut-ikut dengan keperluan semasa dan akhirnya memakan diri sendiri.

Setelah melihat kepentingan dan persediaan menghadapi multimedia di dalam masyarakat hari ini, seterusnya keberkesanan multimedia di dalam masyarakat akan dilihat terutama dari segi aplikasinya khusus dalam beberapa bidang seperti di dalam pendidikan, perubatan dan perdagangan. Melalui bidang pendidikan, beberapa kaedah boleh digunakan. Antaranya, teknologi talian terus melalui IRC ( Internet Relay Chat), newsgroup dan e-mail. Selain itu penggunaan CD-ROM yang mampu menyimpan kesemua jilid ensiklopedia dengan terang, ilustrasi, animasi dan petikan video. Bukan itu sahaja, pembelajaran Al-Quran juga boleh diperolehi melalui cakera padat yang menawarkan pendidikan yang lebih komprehensif seperti pencarian tajuk, pembentangan makhraj(sebutan huruf) dan tajweed serta indeks dan tafsir yang lengkap mengikut susunan juzuk.

Secara kesimpulannya, berdasarkan penerangan-penerangan di atas dapat dilihat perkaitan antara dakwah dan multimedia serta keberkesanannya dalam masyarakat. Tanggungjawab menyampaikan dakwah merupakan tanggungjawab setiap individu muslim. Bagi merealisasikan dan melicinkan hasrat ini, semua pihak perlu memainkan peranan. Peluang ini bukan hanya untuk dikuasai oleh para akedemik dan ahli korporat, bahkan perlu dikuasai oleh barisan para ulama’. Bagi golongan para pendakwah dan ulama’, peranan mereka dalam memastikan syariat Islam tersebar luas, dan peluang-peluang yang ada perlu diisi dan dimanfaatkan khususnya dalam bidang multimedia supaya tidak disalahgunakan oleh musuh-musuh Islam. Semoga setiap peringkat mampu khususnya golongan cendiakawan muslim mampu memainkan peranan dalam memastikan penyebaran dakwah dapat dijalankan dengan baik.

No comments: