Monday, November 17, 2008

"Tenang...tenang"

"Tenang.. tenang" antara peringatan yang biasa diungkapkan oleh suami kepada saya.
"Bila abang cakap tenang-tenang, abang tidak mahu isteri abang jadi kelam kabut. Bila kita tenang, kita mudah buat keputusan dan berfikir dengan cara yang rasional dan tindakan yang diambil pun sesuai dengan situasai"

Petang itu, hujan turun mencurah-curah membasahi bumi. Laluan dari Putrajaya menuju ke Kajang menjadi semakin sesak dengan pergerakan kereta yang perlahan. Biasanya keadaan jalan makin lancar jika jam menunjukkan jam 6 petang. Namun, masing-masing mengambil sikap lebih berhati-hati. Tambahan pula laluan di hadapan hospital Serdang. Teringat saya kepada kata-kata seorang sahabat.
"Laluan di Putrajaya ini, kena hati-hati. Kadang-kadang macam dah peluk steering kereta ni, tapi boleh tergelincir juga. Sebabnya ada 'jin' tabur paku dan minyak pada jalan." katanya tersenyum sinis.
Pada mulanya saya kurang faham. Setelah diterangkan, saya setuju. Ada juga makhluk yang mengambil kesempatan di atas kesusuahan dan kemudharatan orang lain.
"Abang sudah samapai di stesyen komuter Serdang" SMS yang saya terima dari suami. Minggu ini disebabkan saya ada menguruskan Kelas Tahsin al-Quran untuk Imam-imam di Putrajaya, saya perlu korbankan masa. Suami pun bersetuju untuk datang ke Kuala Lumpur, jadi saya tak pwerlu pulang ke Perak. Dari Ipoh, suami menaiki bas jam 2.30 petang dan saya yakin, mungkin jam 6.30 petang dia akan sampai di komuter Kajang.
Alhamdulillah, semuanya selesai.

Gambar ketika sambutan Aidilfitri yang lalu.

Sewaktu menatap wajah suami tersayang, saya merasakan ada sedikit kelainan pada wajahnya. Ya... matanya lebab dan dikeningnya ada satu garisan. Saya maklum, semalam melalui telefon suami mengatakan dia terlibat dengan kemalangan kecil selepas terowong di lebuhraya Ipoh - Kuala Kangsar. Saya tidak menyangka kemalangan tersebut boleh meninggalkan beberapa kesan pada wajah dan anggotanya.
"Tenang-tenang. Alhamdulillah, Abang dah sampai. Luka pun sikit je. Abang tak nak isteri abang susah hati." Suami saya menjawab sambil tersenyum.
Mengalir air mata mendengar cerita suami tentang peristiwa tersebut. Alhamdulillah setinggi kesyukuran ke hadrat ilahi, lukanya sedikit walaupun sewaktu melihat keadaan kereta suami melalui telefon bimbitnya agak teruk.
Jauh disudut hati saya, timbul rasa terkilan. Terkilan kerana gagal menjalankan tugas sebagai seorang isteri di waktu kecemasan sebegini rupa. kadang-kadang berkata-kata juga dalam hati...layakkah saya mendapat pahala seorang isteri jika tanggungjawab terhadap suami hanya dapat saya laksanakan pada hujung minggu sahaja. Makanan dan pakaian suami sewaktu bekerja, diuruskan oleh suami sendiri..
"Ya Allah, permudahkan urusan kami. Campakkan rasa kasih sayang antara kami agar kekal dunia sehingga ke akhirat. Moga-moga kerja dakwah yang dijalankan sedikit ini mampu mendapat ganjaran yang setimpal."
Bukannya kami tidak berusaha untuk tinggal sekali. Mungkin masa dan ketikanya belum tiba.
" Isteri abang kena tenang-tenang. Ini ujian untuk kita. Kita hanya berpisah di antara 2 negeri dan alhamdulillah setakat ini kita masing-masing berusaha untuk berjumpa pada hujung minggu. Ada orang, isteri di Semenanjung suami di Sarawak. Ada yang lebih istimewa lagi, suami di Malaysia isteri di Mesir."
"Doa sama-sama. Ada apa-apa SMS abang", perbualan akhir kami ketika menghantar suami di Puduraya petang semalam.

1 comment:

Anonymous said...

semoga menjadi isteri yang solehah....bila ada anak nanti lagi berat tanggugjawab....yang penting sabar dlm semua perkara....